Apple
Daripada Wikipedia,
ensiklopedia bebas.
Apple Inc., dahulunya Apple Computer, Inc.
(NASDAQ: AAPL), ialah perbadanan multinasional Amerika Syarikat yang
mengkhususkan perekaan bentuk serta pengilangan produk elektronik pengguna dan perisian yang berkait. Berpusat di Cupertino, California,
Apple mengembangkan, menjual, dan mendukung berbagai-bagai komputer peribadi dan pemain media mudah alih,
serta juga perisian dan perkakasan komputer
tambahan. Jualan tahunan Apple di seluruh dunia pada tahun fiskal 2006
(berakhir pada 30 September) ialah AS$19.3 bilion.[4]
Apple
diasaskan oleh Steve Jobs dan Steve Wozniak. Apple kini terlibat dalam
penciptaan konsep teknologi baru (seperti iPhone,
dan Apple TV), serta ciri-ciri untuk Mac OS X "Leopard", sistem pengendaliannya
yang baru. Syarikat ini juga mengendalikan kedai dalam talian untuk menjual perkakasan dan perisian,
selain daripada iTunes Store, laman
webnya yang membekalkan muzik, buku audio, permainan, video
muzik, pertunjukan TV, dan filem digital yang boleh dimuat turun. Produk-produk
perkakasan syarikat yang paling terkenal termasuk barisan komputer peribadi Mac dan peranti-peranti persisian
berkait, barisan pemain media mudah alih iPod,
serta iPhone yang dikeluarkan pada pertengahan tahun 2007.
Selain itu, produk-produk perisian Apple yang paling terkenal termasuk sistem pengendalian Mac OS dan suit perisian iLife yang merupakan
berkas produk perisian kreatif bersepadu untuk para amatur. (Kedua-dua Mac OS
dan iLife dibekalkan secara bersama-sama dengan semua jualan Mac). Tambahan
pula, Apple juga merupakan pembekal produk perisian industri audio
dan filem profesional (serta juga "prosumer") yang
utama. Aplikasi-aplikasi profesional dan "prosumer" Apple yang
digunakan, terutamanya dalam komputer Mac, termasuk Final Cut Pro, Logic Audio, Final Cut Studio,
dan alat-alat industri yang berkait.
Diperbadankan
pada 3 Januari 1977 [5],
syarikat in mula-mulanya dikenali sebagai Apple Computer, Inc. selama 30
tahunnya yang pertama. Pada 9 Januari 2007,
syarikat ini menggugurkan perkataan "Computer" daripada nama
korporatnya agar membayangkan bahawa Apple yang pada suatu ketika terkenal
untuk produk-produk komputer, kini membekalkan berbagai-bagai produk elektronik pengguna.[6] Pertukaran nama yang menyusul pengumuman Apple
tentang smartfon iPhone
dan sistem video digital Apple TVnya membayangkan peluasan berterusan syarikat ke dalam
pasaran elektronik pengguna, selain daripada tumpuan tradisionalnya dalam komputer peribadi.[7]
Apple juga mengendalikan 180 buah kedai jualan runcit
di Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Kanada, dan Itali.[8] Kedai-kedai itu menjual kebanyakan produk Apple
serta juga produk-produk pihak ketiga, dan membekalkan dukungan dan pembaikan
perkakasan dan perisian Apple. Apple kini menggaji melebihi 20,000 pekerja
tetap dan pekerja sampingan di seluruh dunia.[9]
Berdasarkan
alasan-alasan dari falsafah reka bentuk
estetik yang menyeluruh sehingga budaya perlawanan (malahan asal-usul budaya
kebebasannya), selain daripada kempen-kempen pengiklanannya, Apple telah
memperoleh suatu reputasi yang tersendiri dalam industri elektronik konsumer
serta juga dasar pelanggan yang setia pada tahap yang amat luar biasa kepada
syarikat dan jenamanya.[10]
0 komentar:
Posting Komentar